Sahabat
Sahabatku,
Hadirmu sungguh bermakna dalam hidupku,
Tercipta kasih yang tak bisa dikendur,
Sungguh aku mensyukuri hadirmu,
Dikau terangi setiap sudut gelap dalam hati ini,
Dikau sinari hati ini dengan cahaya kasih sayangmu.
Tetapi,
Kenapa sinaran itu seperti menghindar diriku?
Apakah silapku hingga kau jauhi diriku?
Adakah kasihmu
gugur di pertengahan jalan?
Apakah aku tidak
layak berkongsi sinaran itu?
Atau dikau cuma
bermain kata?
Sahabatku…
Aku gagal menjadi
kawan yang baik untuk dirimu,
Terasa inginku
kembara jauh membawa duka ini,
Jujurlah denganku, apa kau masih sayang persahabatan ini?
Bukan sengaja bermadah pujangga,
cuma ingin meluah
rasa yang tak terluahkan dengan kata-kata.
Sahabatku…
Andai dikau bosan bersama aku,
Khabarkanlah agar
aku tidak dilihat bodoh pada mata manusia.
Bukan sengaja menagih kasih,
Cuma…kasih sayang ini takkan mati
dalam hati ini.
Meski dikau mencampakku, menyisihku, aku tetap menyayangi persahabatan ini.
SAHABAT
Tika malam semakin pekat
Kurasa kosong benak kepalaku
Sudah hilang burung yang selalu berlegar di kotak ingatan
Terasa sunyi dan sepi merantai atma ini
Kuangkat kepala kutenung langit
Ke manakah perginya bintang-bintang hiasan langit malam
itu?
Mengapa ia menghilang?
Apakah ini ilusi atau realiti?
Kuintai ruang hati kuselak tirai perasaan
Barangkali ada sesuatu yang hilang
Sekali lagi kumendongak menatap langit
Ya…bintang-bintang itu umpama kasih sahabat
Ia menghilang menyusuli pemergian sahabat.
Sahabat…
Mengapa kau pergi?
Bukankah teman yang kaupinta?
Aku siapa jika bukan temanmu?
Mengapa kau sering memilih berenang di ombak perasaan?
Ombak itu akan memalu dan menyakitimu sahabat
Pilihlah untuk berpijak di bumi nyata
Kerana ramai teman yang mengelilingimu dan bersedia
membantumu
Sahabat…
Aku nukilkan ini untukmu
Aku gubah khas untuk dirimu
Ilham membujuk hati, pena dan kertas juga meraih simpati
Seolah-olah mengerti gejolak perasaan ini
Ketahuilah sahabat…
Rugi dirimu menafikan cinta
Tak ada yang lebih bernilai selain daripada kasih yang
suci
Aku selalu bersamamu sahabat
Kau bisa mendamba kasihmu padaku
Tetapi jangan mengatasi rimbunan kasih terhadap Pencipta
Sahabat…
Aku sudah kekeringan kata
Bukan berniat menagih cinta darimu
Cuma mengharap secebis kasihmu
Kerana doa sahabat itu terlalu istimewa
Umpama siraman air yang menyuburi tanaman
Menjadi mekar menghiasi lorong kehidupan
Memberi haruman bak setanggi syurga.
CERPEN: MALAM
ITU
Di suatu malam yang
hening, aku merasa begitu bosan dan sunyi. Mana tidaknya, rakan-rakan serumahku
semuanya pulang ke kampung halaman masing-masing. Tinggallah aku sendirian
terperosok di rumah. Setelah acapkali memutar fikiran, akhirnya aku putuskan
untuk keluar menghirup udara segar serta menikmati panorama malam di ibu kota.
Kusisip dompet dan telefon bimbitku di dalam poket serta kupastikan rumahku
dalam keadaan selamat sebelum melangkah keluar. Rancangku cuma untuk seketika.
Justeru itu, aku hanya berjalan kaki sahaja.
Belum sampai sekerat
jalan, kulihat seorang tua terjelepuk di suatu sudut. Sudut yang sangat
tepencil di ceruk ibu kota. Kucuba meluaskan corong pendengaranku, sepertinya
kuterdengar esakan yang syahdu. Dengan curiga aku menghampirinya. “Wahai si
tua, mengapa kau bersedih hati?” “Aku sudah terlambat nak. Sudah tiada jalan lagi
untukku. Aku sudah pun tersungkur di perdu dosa.” “Dosa apa yang telah
kaulakukan wahai si tua?” “Aku gagal menjadi seorang ayah. Anakku tiada wawasan,
tiada berkerjaya.” Aku terdiam sejenak, cuba mengatur kata. Namun begitu lidahku
kelu membisu seribu bahasa.
Kumohon izin mengudurkan diri
untuk meneruskan langkahku.
Baru sahaja
menyambung beberapa langkah, tiba-tiba sorotan pandanganku terarah ke seorang
anak muda. Wajahnya berkerut mempamerkan kegusaran. Ada linangan air mata di
pipinya. Aku melangkah mendekatinya, cuba menyapa. “Wahai saudaraku, mengapa
kau menangis?” “Aku berdosa! Aku tidak layak menjadi anaknya!” “Apakah yang
kamu maksudkan saudaraku?” “Dia memasang segunung harapan. Namun, lihat
keadaanku, apa yang bisa aku perbuat?” Kutersenyum lalu berkata, “Wahai
saudaraku, jika kau bisa melangkah sejauh ini, mustahil kau tidak bisa menggenggam
erat impianmu. Berusahalah, kau pasti akan berjaya.” Kumeninggalkan anak muda
itu sarat dengan persoalan di sangkar fikirannya. Kumenyambung semula langkah
yang terhenti.
Setelah beberapa
tapak berjalan, dari jauh kumelihat seorang anak kecil menangis. Dengan rasa
kasih seorang manusia, aku merapatinya. “Wahai adik kecil, mengapa kau
bersendiri di sini? Mengapa pula kau menangis?” “Aku lari dari rumah kak. Aku
banyak susahkan keluarga.” “Adik, kamu baru sekecil ini, apakah kesusahan yang
telah kau berikan?” “Aku sakit, keluargaku susah, aku ini bebanan kak.” “Wahai
adik kecil, kamu permata keluarga. Walau kamu sakit sekalipun, kamu bukan
bebanan buat keluargamu. Sebaliknya, kamu satu tujuan keluargamu berjuang. Pulanglah,
keluargamu pasti bimbang akan dirimu.” Anak kecil itu menyeka air matanya lalu memelukku.
Ada riak kegirangan di wajahnya. Dia mengucapkan terima kasih dan segera
berlari pulang.
Setelah kuberdepan
dengan tiga keadaan, aku pula duduk termenung. Bagaimana pula dengan diriku? Mengapa
aku tidak mampu berfikir seperti mereka? Aku mula merintih dan menangis. Membayangkan
betapa merimbunnya dosa-dosaku. Terutama kepada mereka yang begitu banyak
jasanya kepadaku, tiada lain kalau bukan kedua orang tuaku. Aku terasa rindu
yang amat mendalam kepada mereka. Jika kupulang ke kampung halaman nanti, akan
kudakap dan kucup mereka serta memohon ampun dan maaf atas setiap kesalahan
yang telah kulakukan. Aku menadah tangan memohon doa, kerna kutahu hanyalah DIA
yang Maha Mengetahui dan Maha Mendengar. Aku hanyalah hambaNYA yang kerdil,
daif dan hina di muka dunia.
Hasil nukilan,
Aidil Adabi Jam'iah
2 PISMP PBM2
KHAS
BUAT SAHABAT2 PBM2 YG TERSYG
Satu per lima dekad kita bersama
Mencatur perjuangan menempah kejayaan,
Namun sedarkah dalam galak kita berjuang
Ada atma yang tertusuk duri sembilu?
Kita bersaudara mengapa perlu ada yang terluka?
Bukankah kita perlu bebat luka itu bersama,
Jahit mana yang koyak, bukan merobek menambah parah.
Beban berat kita galas bersama, yang ringan kita jinjing.
Jika ada yang tersilap langkah, betulkanlah ia
Jangan sesekali benarkan ia menjadi virus merosak
persahabatan.
Jika ada yang lebih berjaya, bantulah yang masih
tertinggal
Jangan sesekali riak dengan kejayaan yg dikecap.
Ilmu itu untuk semua, kongsikanlah ia
Barakahnya akan memberi rezeki kepada kalian semua.
Yang merasa tersisih,
Cubalah buka matamu
Lihat kelebihan dan peluang yang ada
Pasti ada ruang untuk dirimu maju ke hadapan.
Peluang itu tidak muncul bagai kancil di antara kuda
Ia bak mencari permata di antara kaca.
P/S: Setiap manusia yang
diciptakan ada kelebihan dan kekurangan.
Janganlah menilai seseorang melalui perwatakan umumnya.
Tidak semua manusia mempunyai keserasian bersama namun
janganlah kita langsung menyisihnya.
Formulanya,
(++ve) + (--ve) =
(+-ve = natural)
Inilah bumi bertuah ciptaan
Ilahi
Keindahannya terserlah
dihiasi pohon-pohonan indah
Lebih berseri dengan makhluk
ciptaan-NYA yang saling memerlukan
Yang hadirnya memberi
sinaran warna-warni kehidupan
Yang hidupnya perlu menjaga dan
berbakti kepada alam
Namun, keseriannya dirobek
oleh manusia-manusia durjana
Yang matanya buta dek racun
dunia
Yang telinganya jemu
mendengar kata-kata nasihat
Yang lidahnya bisu diikat
kemewahan
Yang hatinya rakus dahagakan
harta dunia
Yang jiwanya dibenam oleh
nafsu serakah
Yang imannya digoyah kealpaan
dunia
Aduhai bumi daku bersimpati
Tatkala umurmu yang semakin
meningkat
Semakin banyak yang
mengkhianatimu
Dikau tidak dijaga malah
ditarah demi persaingan sejagat
Dikau dicemari sampah-sarap
dunia
Dikau semakin gersang dan
haus
Aduhai bumi maafkan aku
Kerana tangan-tangan seperti
akulah yang mencalarkanmu
Kerana atma-atma inilah yang
merampas keceriaanmu
Namun, kuyakin masih belum
terlewat
Untuk aku mengorak langkah
Menjahit kembali luka-luka
lama yang masih koyak
Demi mengembalikan keserian
yang telah lama hilang
Nukilan: Aidil Adabi Jam'iah
No comments:
Post a Comment